Saturday, May 21, 2011

Juara Tenpin Bowling Dinobatkan





Meriah - terhibur - santai
Itulah yang dapat digambarkan ketika berlangsungnya Kejohanan Tenpin Bowling kali pertama anjuran BKGK SK Taman Alam Megah. kejohanan yang berlangsung semalam 21.05.2011 di Ole Ole Shah Alam adalah sempena Hari Guru peringkat SKTAM dan merupakan klimaks sambutan tahun ini.

Seperti pendaftaran awal, 32 peserta pertandingan tenpin bowling ini rata-rata guru SKTAM muncul di Ole Ole Shah Alam bagi merebut gelaran juara. Seawal jam 10.00 pagi, kebanyakan peserta muncul kebanyakannya membawa pasukan sorak sendiri yang terdiri dari ahli keluarga mereka.

Belum mula pertandingan lagi, Ole Ole Shah Alam telah gawat dengan gurau senda dan sorakan peserta dan penyokong yang hadir. Terpancar kegembiraan diwajah peserta, pasangan masing-masing dan anak-anak.

Sebaik kejohanan dimulakan, maka bermulalah aksi, skil dan bakat terpendam masing-masing. Berbagai ragam, keletah menghiburkan dan insiden menarik muncul mewarnai pertandingan. Setelah berhempas pulas hampir 90 minit maka juara pun muncul. Saingan cukup sengit. Siapa sangka cikgu-cikgu SKTAM mampu membuat kejutan-kejutan dengan double strikes, setakat spares berterusan adalah aksi bersahaja cikgu-cikgu. Pendek kata kalau Shalin Zulkifli pun join pertandingan mesti gemuruh hatinya.. haha

Tahniah kepada pihak penganjur iaitu BKGK SKTAM terutamanya En Mohd Soleh Ghazali. Banyak tu hadiah disediakan, door gift lagi dan makan-minum ringan-ringan. Macam pergi parti pulak rasanya. Apapun memang best dan sukses penganjuran ini. rata-rata peserta bertanya bila lagi nak buat siri ke-2 kejohanan tenpin bowling seperti ini lagi?

Tuesday, May 17, 2011

Pertandingan Bowling Warga SKTAM

Sempena Sambutan Hari Guru 2011, Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan (BKGK) SK Taman Alam Megah menganjurkan pertandingan bowling untuk warga kerja SKTAM.

Pertandingan bowling ini akan disertai 32 peserta. Pelbagai hadiah menarik yang masih misteri dijanjikan untuk pemenang. Julung kali diadakan, inisiatif BKGK ini adalah satu usaha yang baik dalam merapatkan hubungan dikalangan warga kerjanya selain program santai di hujung minggu.

Berikut info pertandingan bowling nanti
Tarikh : 21.05.2011
Hari : Sabtu
Masa : 10 pagi-12.00tgh hari
Tempat : Ole Ole Seksyen 18 Shah Alam
Peserta : 32 pemain dikalangan warga SKTAM

Pengelolaan pertandingan diketuai oleh En Mohd Soleh Bin Ghazali.
Jumpa di sana. jom...

Program Hari Kemerdekaan



Setiap tahun negara kita akan menyambut hari Kemerdekaan. Maka setiap tahun juga warga sekolah akan meraikan Hari Kemerdekaan negara kita. Dalam menerapkan nilai semangat patriotik di kalangan anak-anak seawal usia mereka, pihak sekolah mengadakan program bulan kemerdekaan pada sepanjang bulan Ogos. Pelbagai program diadakan sepanjang bulan tersebut.

Program Nuzul Quran di sekolah

Murid-murid didedahkan dengan program mengaji Al-Quran diperingkat awal. Ibarat "melentur buluh dari rebungnya" begitulah harapan warga pendidik dan ibu bapa agar jiwa anak-anak ini kuat.

SKTAM dan Utusan Malaysia


SHAH ALAM 29 Okt. – Seramai 500 murid Sekolah Kebangsaan Taman Alam Megah (SKTAM) di sini menyertai program sehari pembelajaran bahasa Inggeris (e-Lab) dan pertuturan berirama (choral symphony) anjuran Utusan Malaysia hari ini.

Program itu merupakan salah satu usaha akhbar utama negara tersebut untuk meningkatkan penguasaan bahasa kedua itu di kalangan pelajar sekolah rendah.

Pengurus Besar Pemasaran dan Pengedaran Utusan, Zulkafli Bakar berkata, penguasaan bahasa Inggeris amat penting kerana ia adalah salah satu kunci utama yang membuka ruang kepada pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai bidang.

“Kita merasakan penguasaan bahasa Inggeris serta beberapa mata pelajaran lain di kalangan pelajar sekolah terutama pelajar bumiputera masih lagi pada tahap rendah dan ia memerlukan perhatian khusus oleh semua pihak.

“Program seperti ini adalah satu sokongan kepada pembelajaran di sekolah. Penggunaan penerbitan akhbar sisipan seperti e-Lab, A-Kelas dan Tutor selain penguasaan kemahiran jawi melalui Utusan Melayu Mingguan dapat menyediakan pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran,” kata Zulkafli ketika ditemui di sini.

Program pendidikan itu merupakan acara yang diadakan di kawasan Shah Alam sempena Program Kita Bersama@Shah Alam Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia yang dilancarkan pada 26 Oktober lalu dan berakhir pada 4 November ini.

Dalam program hari ini, pelajar sekolah terbabit diberikan taklimat serta penerangan mengenai pembelajaran bahasa Inggeris yang disampaikan oleh Pengarang e-Lab, Jaya P. Shiva selaku moderator sesi e-Lab.

Penolong Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Hasani Hassan pula memberikan penerangan mengenai Tutor serta persediaan menghadapi peperiksaan.

Program itu turut disaksikan oleh Guru Besar SKTAM, Aneesah Mohd Noor sebelum disusuli dengan acara pertuturan berirama oleh kumpulan ‘Unity’ yang dianggotai oleh para pelajar sekolah itu.

Seorang murid tahun enam, Mohd. Shazwan Abu Bakar, 12, memberitahu, dia amat seronok dengan program itu kerana ia memberi peluang kepadanya untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam pelajaran.

“Program ini dapat memberi kefahaman serta menarik minat saya untuk belajar dan menguasai bahasa Inggeris serta mata pelajaran lain.

“Selain itu, program ini amat menarik kerana sesi penerangannya adalah jelas selain pembabitan pelajar-pelajar lain membuat latihan menggunakan akhbar Utusan Malaysia,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Nurul Shafikah Ahmad Zafar, 12, berkata, dia sering mendapatkan sisipan-sisipan pendidikan Utusan Malaysia setiap minggu untuk mempelajari teknik menguasai bahasa Inggeris serta menjawab soalan peperiksaan.

“Saya memang mengenali sisipan yang dikeluarkan Utusan Malaysia kerana saya sering menggunakannya sebagai bahan untuk mengulang kaji pelajaran.

“Melalui program hari ini, saya dapat membuat latihan serta menyelesaikan soalan. Saya juga dapat berbincang mengenai sesuatu tajuk bersama rakan-rakan,” ujarnya.

Rakannya, Mahendran Murugaya, 12, pula menjelaskan, dia berminat terhadap pelajaran bahasa Inggeris kerana kefasihan dalam bahasa merupakan syarat utama untuk dia mencapai cita-cita menjadi doktor perubatan.