Tuesday, May 17, 2011

SKTAM dan Utusan Malaysia


SHAH ALAM 29 Okt. – Seramai 500 murid Sekolah Kebangsaan Taman Alam Megah (SKTAM) di sini menyertai program sehari pembelajaran bahasa Inggeris (e-Lab) dan pertuturan berirama (choral symphony) anjuran Utusan Malaysia hari ini.

Program itu merupakan salah satu usaha akhbar utama negara tersebut untuk meningkatkan penguasaan bahasa kedua itu di kalangan pelajar sekolah rendah.

Pengurus Besar Pemasaran dan Pengedaran Utusan, Zulkafli Bakar berkata, penguasaan bahasa Inggeris amat penting kerana ia adalah salah satu kunci utama yang membuka ruang kepada pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai bidang.

“Kita merasakan penguasaan bahasa Inggeris serta beberapa mata pelajaran lain di kalangan pelajar sekolah terutama pelajar bumiputera masih lagi pada tahap rendah dan ia memerlukan perhatian khusus oleh semua pihak.

“Program seperti ini adalah satu sokongan kepada pembelajaran di sekolah. Penggunaan penerbitan akhbar sisipan seperti e-Lab, A-Kelas dan Tutor selain penguasaan kemahiran jawi melalui Utusan Melayu Mingguan dapat menyediakan pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran,” kata Zulkafli ketika ditemui di sini.

Program pendidikan itu merupakan acara yang diadakan di kawasan Shah Alam sempena Program Kita Bersama@Shah Alam Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia yang dilancarkan pada 26 Oktober lalu dan berakhir pada 4 November ini.

Dalam program hari ini, pelajar sekolah terbabit diberikan taklimat serta penerangan mengenai pembelajaran bahasa Inggeris yang disampaikan oleh Pengarang e-Lab, Jaya P. Shiva selaku moderator sesi e-Lab.

Penolong Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Hasani Hassan pula memberikan penerangan mengenai Tutor serta persediaan menghadapi peperiksaan.

Program itu turut disaksikan oleh Guru Besar SKTAM, Aneesah Mohd Noor sebelum disusuli dengan acara pertuturan berirama oleh kumpulan ‘Unity’ yang dianggotai oleh para pelajar sekolah itu.

Seorang murid tahun enam, Mohd. Shazwan Abu Bakar, 12, memberitahu, dia amat seronok dengan program itu kerana ia memberi peluang kepadanya untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam pelajaran.

“Program ini dapat memberi kefahaman serta menarik minat saya untuk belajar dan menguasai bahasa Inggeris serta mata pelajaran lain.

“Selain itu, program ini amat menarik kerana sesi penerangannya adalah jelas selain pembabitan pelajar-pelajar lain membuat latihan menggunakan akhbar Utusan Malaysia,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Nurul Shafikah Ahmad Zafar, 12, berkata, dia sering mendapatkan sisipan-sisipan pendidikan Utusan Malaysia setiap minggu untuk mempelajari teknik menguasai bahasa Inggeris serta menjawab soalan peperiksaan.

“Saya memang mengenali sisipan yang dikeluarkan Utusan Malaysia kerana saya sering menggunakannya sebagai bahan untuk mengulang kaji pelajaran.

“Melalui program hari ini, saya dapat membuat latihan serta menyelesaikan soalan. Saya juga dapat berbincang mengenai sesuatu tajuk bersama rakan-rakan,” ujarnya.

Rakannya, Mahendran Murugaya, 12, pula menjelaskan, dia berminat terhadap pelajaran bahasa Inggeris kerana kefasihan dalam bahasa merupakan syarat utama untuk dia mencapai cita-cita menjadi doktor perubatan.

No comments:

Post a Comment